Tidak mustahil DAP laksanakan di peringkat negara - Najib - Utusan Malaysia

Tidak mustahil DAP laksanakan di peringkat negara – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasakan tidak mustahil DAP akan melaksanakan apa yang pernah dilakukan parti itu di Pulau Pinang untuk peringkat negara, seperti kenaikan tarif air.


Beliau berkata, ini lebih-lebih lagi parti itu kini telah menjadi kerajaan Pusat.

Jelasnya, di sebalik propaganda ‘kejayaan’ DAP di Pulau Pinang ialah, tarif air naik tiga kali dalam masa sembilan tahun berbanding tidak sekali pun untuk 18 tahun sebelum itu.

Najib turut menyenaraikan beberapa lagi prestasi DAP di Pulau Pinang seperti cukai tanah untuk rakyat dinaikan sementara pelbagai cukai-cukai pembangunan diperkenalkan atau dinaikan.

“Tidak mustahil DAP akan menjalankan di peringkat negara apa yang mereka pernah buat di Pulau Pinang dahulu kerana mereka telah menguasai kerajaan Pusat.

“Harga akan naik berkali-kali dan semua aset-aset negara akan dijual, seperti di Pulau Pinang dahulu,” katanya menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar mengumumkan kadar tarif air mungkin akan dinaikan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara.

Berikutan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kemungkinan kenaikan tarif di negerinya akan mencecah sehingga 20 peratus selaras dengan pengumuman oleh Pusat.

Najib berkata, pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang itu bakal menyaksikan kali keempat harga air dinaikan bagi tempoh 10 tahun selepas DAP memerintah di negeri tersebut.

Katanya, sebelum memberi kuasa kepada DAP untuk memerintah dan menguasai Pusat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat sepatutnya menilai prestasi DAP secara mendalam ketika parti itu mentadbir di Pulau Pinang sejak 2008.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN