PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi bayangan kontrak berjumlah RM81 bilion bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada kontraktor utama, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) berkemungkinan ditamatkan.
Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan tidak dapat menanggung beban kewangan yang dianggarkan berjumlah lebih RM100 bilion jika projek meja itu tetap diteruskan.
“Bukan kerajaan tidak mahu meneruskan kontrak tersebut tetapi kita tidak mampu membayarnya. Kita (negara) dibebani dengan hutang yang banyak.
“Kontrak ini akan menelan belanja lebih RM100 bilion. Ia akan membuatkan negara jadi miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan yang banyak jika kontrak projek ECRL ditamatkan, Dr. Mahathir berkata, jumlahnya tidak sebanyak hutang yang perlu ditanggung negara dalam tempoh 30 tahun akan datang jika projek itu diteruskan.
“Bayaran pampasan tidak sebanyak jumlah yang kerajaan perlu tanggung untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya sambil memberitahu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan memberi penjelasan rasmi berhubung keputusan kerajaan terhadap penamatan kontrak terbabit.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengakui kesilapan menerusi percanggahan kenyataan berhubung status penamatan kontrak projek ECRL yang dibuat Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.
“Kadang-kadang ada sesetengah menteri buat pengumuman sebelum ia diputuskan.
“Saya akui ada kesilapan tetapi kita akan perbetulkan keadaan dan semua perlu faham,” katanya. – K! ONLINE










