Tidak lupa ambil bola Sultan Abdullah - Utusan Malaysia

Tidak lupa ambil bola Sultan Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 26 Jan. – Lari ke kelas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum ke SK St. Thomas di sini untuk mengambil bola milik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh seorang rakan sekolah kepada Sultan Pahang Keenam itu.

Menceritakan pengalaman tersebut, Phua Joo Hee Alex, 59, berkata, pada masa itu pasukan bola sepak SK St. Thomas yang turut diwakili Sultan Abdullah bermain perlawanan separuh akhir bertemu pasukan dari SK Teruntum.

“Selepas separuh masa pertama, Sultan Abdullah maklum baginda hendak menggunakan bola milik baginda dan saya yang berada di bangku simpanan ketika itu terus berlari ke kelas kami di SK St. Thomas untuk ambil bola milik baginda.

“Kami menang perlawanan itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 0-0 sehingga perlawanan berakhir. Bola yang digunakan ketika kami menang perlawanan itu adalah bola milik Sultan Abdullah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Bercerita lanjut berhubung pengalaman bermain bola sepak bersama Sultan Abdullah, Alex berkata, dia bermain sukan berkenaan bersama Sultan Pahang itu bermula dari darjah lima.

“Pada waktu itu, hanya Sultan Abdullah yang mempunyai bola. Kami pada waktu itu mana mampu membelinya, jadi setiap hari Sultan Abdullah akan bawa bola ke sekolah untuk kami main bersama-sama,” katanya.

Mengulas pelantikan Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dia berkata, sebagai bekas rakan sekelas, dia berasa berbangga baginda dilantik menjawat dua jawatan penting itu.

“Sultan Abdullah yang saya kenal adalah seorang yang sangat baik, tidak sombong dan boleh bergaul dengan semua kaum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN