KUANTAN -Tiada ugutan atau tawaran dibuat kepada Tok Batin di Cameron Highlands untuk mendapatkan undi, tegas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, Fuziah Salleh.
Beliau berkata, perjumpaan yang dihadiri 46 Tok Batin yang tular di media sosial semalam, adalah majlis dialog bersama pihak berkepentingan untuk membincangkan masalah dan mendengar pandangan mereka untuk mencari penyelesaian.
Katanya, mereka yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (JPM) Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ketua Pengarah Jakoa Datuk Ajis Sitin dan dua Senator berkaitan Orang Asli.
“Semua ingin berdialog bagi memahami masalah Orang Asli seperti tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah ekonomi, kemiskinan, isu perumahan yang daif, ketiadaan rumah transit kepada wanita mengandung yang menunggu hari kerana dibimbangi tidak sempat ke hospital kerana jarak yang jauh.
“Kita juga dengar masalah mereka dalam isu pelaksanaan ladang rakyat yang terbengkalai atau tidak dilaksanakan dengan baik yang akhirnya gagal meningkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Khidmat Masyarakat ‘Seluas Budi, Seteguh Harapan’ di Dewan Komuniti Kampung Tanjung Api di sini hari ini. – Bernama










