SEREMBAN 29 Jan. – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap pegawai serta pemain negeri itu yang didapati terlibat dengan gejala rasuah.
Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, PBNS memandang serius perkara itu dan akan menyingkirkan mana-mana pegawai dan pemain yang didapati bersalah dengan kegiatan tersebut.
“Kita bekerjasama baik dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan menempatkan pegawai (PBNS dan SPRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan venue lain dari semasa ke semasa untuk memantau perlawanan bola sepak membabitkan pasukan negeri ini.
“Kita menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk memastikan semua pegawai dan pemain pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia kita tanpa ada unsur-unsur rasuah atau perkara yang boleh membawa kepada rasuah,” katanya kepada pemberita selepas majlis IBR PBNS di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Presiden PBNS Datuk Dr Razali Ab Malik; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga Naib Presiden PBNS Mohammad Taufek Abd Ghani dan Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hairuzam Mohmad Amin.
Sehubungan itu, Tunku Syed Razman mengingatkan pegawai dan pemain agar akur dengan perjanjian IBR yang ditandatangani itu dan mereka hendaklah menjauhkan diri daripada segala aspek dalam rasuah. – BERNAMA











