DOHA 2 Jan. – Ketika dunia melangkah tahun baharu 2019 dan tahun ini merupakan ‘ulang tahun’ kesembilan terjadinya Arab Spring, malangnya, harapan untuk melihat Asia Barat yang stabil, aman dan berlakunya peralihan demokrasi dilihat tipis.
Menurut Pengarah Analisis Politik di Pusat Pengajian Dasar dan Penyelidikan Arab, Marwan Kabalan seperti tulisannya dalam portal berita al-Jazeera, 2019 tidak banyak membawa perubahan positif di rantau ini – konflik berterusan mungkin tidak dapat diselesaikan, ada yang mungkin menjadi semakin buruk dan konflik baharu dijangka muncul.
Selain daripada peralihan dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, perkembangan utama Asia Barat pada tahun ini akan ditentukan secara besar-besaran oleh enam isu utama iaitu konflik di Syria dan Yemen, krisis Teluk, konfrontasi AS-Iran, konflik Palestin-Israel dan persaingan serantau.
Konflik Syria
Ketika kekalahan kumpulan pemberontak dan penawanan semula sebahagian besar kawasan oleh tentera rejim kerajaan tahun lalu, konflik di Syria masih belum tamat.
Lebih 40 peratus wilayah Syria masih belum dapat dikuasai oleh kerajaan.
Pengunduran tentera AS dari negara itu akan mencetuskan pertempuran lebih sengit antara kuasa-kuasa besar luar dalam konflik terbabit iaitu Turki, Iran dan Rusia.
Tekanan memuncak antara kuasa-kuasa asing berkenaan turut menyebabkan penangguhan penyelesaian konflik di Syria.
Perang di Yemen
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dibuat di bandar Hodeidah dan terdapat perkembangan positif dalam rundingan di antara kedua-dua pihak yang terbabit dalam peperangan di Sweden, penyelesaian terakhir konflik selama empat tahun itu masih jauh.
Namun, kedua-dua pihak iaitu kumpulan pemberontak Houthi dan tentera pakatan diketuai Arab Saudi yakin bahawa penyelesaian terbaik adalah menerusi peperangan.
Kumpulan Houthi berpendapat Arab Saudi perlu tunduk kepada tekanan antarabangsa, menghentikan peperangan dan meninggalkan usaha mereka di Yemen.
Tentera pakatan Arab Saudi pula percaya perkembangan terkini di medan perang, terutamanya di Hodeidah, akan memaksa Houthi untuk menerima syarat-syarat dikemukakan oleh mereka bagi menamatkan peperangan.
Krisis Teluk
Di sebalik usaha berterusan Kuwait menjadi perantara dan tekanan berterusan daripada AS terhadap Arab Saudi, tiada petunjuk bahawa krisis antara negara-negara Teluk akan berakhir dalam waktu terdekat.
Empat negara yang menyekat Qatar iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir, percaya masa berpihak kepada mereka dan Qatar akan menerima tuntutan dikemukakan oleh keempat-empat negara.
Sementara itu, Qatar berpendapat sekatan terbabit boleh diatasi dan menunggu supaya keempat-empat negara berkenaan sedar bahawa mereka hanya ‘menembak kaki sendiri’.
Krisis terbabit berkemungkinan besar akan berterusan. Atas sebab-sebab geografi, Qatar perlu bergantung kepada Iran untuk mengelak sekatan tersebut.
Ini juga akan menguatkan pakatannya dengan Turki dan memberikan peluang kepada Qatar meningkatkan kehadiran tentera di rantau Teluk untuk kali pertama sejak tamatnya Perang Dunia Pertama.
Pendirian Iran-AS
Susulan pengunduran AS daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Mei tahun lalu, Washington mengenakan sekatan kembali terhadap Iran dalam dua pusingan yang menyasarkan sektor kewangan serta minyak Teheran.
Berikutan kebimbangan peningkatan harga minyak, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump memberikan pengecualian selama enam bulan kepada lapan negara yang mengimport minyak dari Iran.
Menjelang Mei ini, Trump perlu memutuskan sama ada mahu menunaikan janjinya untuk ‘menjadikan eksport Iran kepada sifar’.
Sekiranya berlaku, Iran dijangka mempertimbangkan langkah mengisytiharkan perang.
Selain itu, Iran juga berpotensi menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan perdagangan minyak dunia sebanyak 20 peratus. Penutupan selat terbabit akan turut menyekat negara-negara Teluk lain daripada memasuki pasaran minyak.
Jika Iran memilih untuk tidak menutup Selat Hormuz, Teheran mempunyai keupayaan untuk bertindak balas dengan cara lain, terutamanya di Iraq.
Teheran menggesa sekutunya di Parlimen Iraq untuk membatalkan perjanjian pada 2008 yang menyaksikan kehadiran tentera AS di Iraq adalah sah.
Konflik Palestin-Israel
Tahun ini, Israel dijangka terus mengambil tindakan secara unilateral untuk ‘membentuk realiti baharu’ di bumi Palestin.
Israel mahu menggunakan kesempatan susulan sokongan yang diterima daripada Trump dan konflik yang melanda negara-negara Arab serta kepimpinan Palestin.
Israel ketika ini sedang bekerjasama dengan pentadbiran Trump untuk ‘memadamkan sepenuhnya persoalan bermain dalam kalangan rakyat Palestin’.
Pertama, Israel tidak mahu isu berkaitan status Baitulmuqaddis dan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air dibincangkan dalam rundingan damai.
Keduanya, AS sedang membentuk pakatan anti-Iran Arab-Israel. Pentadbiran Trump dijangka membentangkan ‘perjanjian muktamad’ berhubung penyelesaian konflik antara Palestin-Israel dan membentuk jalan terhadap pakatan terbabit.
Polarisasi serantau
Konflik di Asia Barat yang semakin meruncing menyebabkan berlakunya jajaran politik dan peningkatan polarisasi. Sejak Perang Dunia Pertama, telah berlakunya pecahan blok politik di Asia Barat. Semasa Perang Dingin, rantau itu dibahagikan antara kem Kesatuan Soviet dan AS.
Hari ini, pecahan berkenaan semakin bertambah, terbahagi kepada tiga kem iaitu paksi ‘penentangan’ terdiri daripada Iran, Iraq, Syria dan Hezbollah yang sebahagian besarnya disokong oleh Rusia serta China; paksi tindak balas revolusi iaitu Arab Saudi, UAE, Bahrain, Mesir dan Jordan yang disokong oleh Israel dan paksi pro-perubahan terdiri daripada Qatar serta Turki.
Ketiga-tiga paksi ini terperangkap di tengah-tengah konflik yang menentukan masa depan Asia Barat.










