KUALA LUMPUR 16 Jan. – Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memulakan kempen memburu kejuaraan kedua musim ini dengan cemerlang apabila mudah melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters, hari ini.
Dalam aksi di Axiata Arena, di sini, pasangan bebas itu meraih kemenangan 21-13, 21-14 ke atas gandingan tidak ternama dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan ketiga kejohanan akan bertemu pasangan China, Lu Kai-Chen Lu yang turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menundukkan Ronan Labar-AudreyMittleheiser 21-11, 21-15.
“Bukan nak kata perlawanan hari ini mudah tetapi kami lebih kepada mahu menguji gelanggang kerana kelmarin hanya sempat cuba setengah jam sahaja.
“Untuk esok, perlawanan tetap 50-50 kerana Lu Kai adalah pemain berpengalaman dan hanya bertukar pasangan sahaja, mungkin gandingan baharunya memiliki kekuatan tersendiri,” kata Peng Soon. – UTUSAN ONLINE










