Theresa May 'dimalukan' Parlimen - Utusan Malaysia

Theresa May ‘dimalukan’ Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 16 Jan. – Arena politik Britain berdepan situasi ‘huru-hara’ dan mencatat sejarah tersendiri apabila majoriti ahli Parlimen menolak perjanjian Brexit yang diusulkan Perdana Menteri, Theresa May di Westminster.

BBC melaporkan, seramai 432 ahli Parlimen mengundi untuk menolak perjanjian tersebut berbanding 202 yang menyokong, satu bentuk kekalahan terbesar kepada kerajaan di Parlimen dalam sejarah politik Britain moden.

Britain dijadual meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Mac ini.

Keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepada barisan Kabinet pimpinan May apabila pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn menggesa supaya ‘undi tidak percaya’ diadakan segera.

Sebelumnya, ‘rayuan’ May dalam usul perjanjian Brexit gagal memenangi hati ahli Parlimen untuk menyokongnya.

“Tiada perjanjian bermakna tiada tempoh pelaksanaan. Perjanjian sewajarnya melindungi hak penduduk EU yang berada di United Kingdom (UK) dan sebaliknya, bagi memastikan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Tiada perjanjian bermakna kita tidak dapat melindungi hak-hak penduduk,” katanya.

KEKALAHAN 
PALING TERUK

Menganggap keputusan 432 berbanding 202 adalah kekalahan paling teruk kepada kerajaan sejak 1920-an, Corbyn turut menyifatkannya sebagai ‘bencana’.

Seperti dipetik oleh CNBC, Corbyn menyindir May sebagai cuba menghidupkan semula proses yang gagal selepas ditolak oleh Parlimen sebelum ini.

“Kita (Parti Buruh) percaya pilihan raya umum adalah jalan terbaik. Isu yang paling penting yang dihadapi adalah kerajaan telah kehila­ngan keyakinan Parlimen dan negara.

“Oleh itu, saya memaklumkan bahawa kita telah membentangkan usul tidak percaya kepada kerajaan,” tegasnya.

Bertambah buruk apabila terdapat ahli Parlimen daripada Konservatif turut ‘menikam belakang’ May selepas mengundi untuk menolak perjanjian itu.

BREXIT: APA BERLAKU SELEPAS INI?

• Pilihan raya umum diadakan

Jika ahli-ahli Parlimen me­ngundi tidak mahu meneruskan kerajaan pimpinan May, maka Britain bakal mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam tempoh terdekat.

Di bawah Perlembagaan UK, PRU akan diadakan sekali dalam tempoh setiap lima tahun de­ngan PRU akan datang dijangka berlangsung pada 2022.

Sekiranya ahli-ahli Parlimen memilih untuk mengadakan undi tidak percaya, maka proses undian itu akan berlangsung selama 14 hari.

Dalam tempoh tersebut, jika kerajaan sedia ada mahupun pihak pembangkang tidak memenangi undi tidak percaya maka PRU akan diadakan.

Paling awal PRU boleh diadakan adalah dalam tempoh 25 hari waktu bekerja atau selanjutnya dan jika kerajaan May terselamat daripada undi tidak percaya, mereka boleh mendapatkan undian sokongan serta beberapa pilihan lain.

Selain itu, May juga boleh meminta ahli-ahli Parlimen mengundi untuk mengadakan PRU secara lebih awal di bawah Akta Jangka Tetap Parlimen dan sebanyak dua per tiga daripada mereka perlu bersetuju dengan langkah berkenaan.

• Rundingan besar-besaran

Kerajaan berkemungkinan mencadangkan perjanjian Bre­xit baharu.

Ini mungkin memerlukan dua langkah utama iaitu yang pertama, UK perlu membuat permohonan kepada EU untuk keluar dan permintaan itu mungkin diluluskan jika kese­mua negara EU bersetuju de­ngan undian di peringkat Majlis EU.

Kedua, kerajaan perlu mewujudkan instrumen statutori untuk menukar definisi ‘hari keluar’ dalam Akta Keluar EU dan ahli-ahli Parlimen akan mendapat peluang untuk me­ngundi perubahan tersebut.

• Satu lagi referendum

Kerajaan juga boleh memilih untuk mengeluarkan satu lagi referendum, bagaimanapun langkah itu mungkin sudah terlambat untuk diadakan sebelum 29 Mac.

Referendum itu juga tidak boleh dilaksanakan serta-merta berdasarkan Akta Referendum, Pilihan Raya dan Parti-Parti Politik 2000.

Referendum tersebut turut memerlukan garis undang-undang baharu bagi menentukan pihak mana yang berkelayakan termasuk siapa yang dibenarkan untuk mengundi.

Selain itu, referendum tidak boleh disegerakan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya memerlukan masa untuk mempertimbangkan serta meneliti butiran yang terkandung dalamnya sebelum dibahaskan di Parlimen.

• Kemungkinan lain

Mahkamah Keadilan Eropah memutuskan bahawa adalah sah untuk UK menarik balik Artikel 50 bagi membatalkan Brexit tanpa memerlukan persetujuan daripada 27 negara EU.

Parti Konservatif pula menya­takan bahawa May tidak akan berdepan dengan undi tidak percaya dalam tempoh setahun sekiranya beliau terselamat dalam undian sebelum ini.

Namun, beliau masih boleh putuskan sama ada untuk meletak jawatan atau sebaliknya, selain bakal berdepan dengan tekanan jika ahli-ahli Parlimen meluluskan ‘censure motion’ yang sama seperti undi tidak percaya namun tidak mempu­nyai kuasa mutlak.

Tarikh Brexit dilanjutkan

Para pemimpin Kesatuan Eropah akan memutuskan sama ada melanjutkan tarikh akhir Brexit iaitu pada 29 Mac ini jika London memberikan alasan munasabah.

“Jika ada permintaan, anggota EU akan memutuskannya secara sebulat suara,” kata jurucakap EU, Margaritis Schinas.

Terdahulu, EU memberi ama­ran penolakan Parlimen Britain berhubung perjanjian Brexit akan meningkatkan risiko pe­ngunduran tidak tersusun UK daripada blok tersebut.

“Masa sudah semakin suntuk. Perjanjian Brexit adalah perjanjian yang baik dan adil. Perjanjian itu mengurangkan kerugian dicetuskan oleh Brexit untuk rakyatnya dan perniagaan di seluruh Eropah,” tegas Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN