The Void bawa filem ke dunia realiti - Utusan Malaysia

The Void bawa filem ke dunia realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika menikmati filem-filem aksi di pawagam sudah terlalu biasa atau tidak cukup mengujakan, mengapa tidak ‘melompat’ masuk ke dunia fantasi. Menggabungkan kehebatan kesan visual dan realiti maya (VR), Resorts World Genting mempersembahkan tarikan terbaharunya iaitu The Void.

Teknologi hiburan terkini yang didatangkan daripada Amerika Syarikat (AS)itu membawa pengunjung mengembara ke galaksi yang selama ini hanya ditonton melalui filem sains fiksyen Hollywood.

Pene­rokaan selama 20 minit di dunia Star Wars sebagai Stormtrooper itu dirasaikan penulis semasa pelancaran program The Void : Star Wars – Secrets of The Empire, baru-baru ini.

Program ciptaan syarikat antarabangsa The Void dengan kerjasama ILMxLAB itu merupakan yang pertama diperkenalkan di Asia dengan mengetengahkan teknologi VR yang memberi pengalaman menakjubkan kepada pengunjung.

Berbeza dengan menonton filem, pengalaman VR melalui The Void membolehkan pengunjung melihat, mendengar dan merasai persekitaran tiga dimensi dengan hanya memakai topi serta jaket khas dengan bergerak di taman permainan digital yang disediakan.

Pengembaraan itu memberi peluang kepada penulis meneroka sebahagian daripada empayar Star Wars dan menyelami kehebatan dunia pengembaraan penuh aksi melalui pelbagai ciri interaktif.

Dalam satu babak pertem­puran dengan raksasa misalnya, penulis bukan sahaja kagum dengan realiti visual seluas 360 darjah bahkan merasa takjub dengan impaknya.

Begitu juga dengan kesan tembakan bolt blaster yang mengenai tepat badan penulis sehingga merasa panas pada jaket yang dipakai.

Suasana pertempuran di galaksi itu dihidupkan lagi apabila hidung mula mengesan bau asap akibat daripada kesan tembakan.

Selain meluncur laju menaiki pesawat tempur dan bertemu dengan watak-watak seperti Darth Vader, R2-D2 dan watak-watak ikonik dalam filem itu, pengunjung turut diuji dengan teka-teki interaktif yang menghidupkan pengembaraan dalam hiburan tersebut .

Tidak dinafikan, kesan realiti yang dibangunkan oleh pakar-pakar daripada Amerika Syarikat itu menghasilkan pengalaman interaktif yang cukup mendebarkan penulis bersama tiga lagi rakan sepasukan.

Selain media, acara itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif The Void, Craig Watson; Ketua Pegawai Eksekutif Void Asia, John D. Watkins Jr. dan Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitaliti Resorts World Genting, Datuk Edward Holloway.

Sementara itu, Holloway berkata, The Void yang dibangunkan dengan kos RM10 juta merupakan produk dan juga simbol kejayaan syarikatnya dalam memasarkan hiburan berteknologi realiti hiper yang bertemakan filem aksi kesukaan ramai.

Selain Star Wars, pengalaman VR melalui The Void itu juga ditampilkan melalui tema-tema daripada filem animasi Walt Disney seperti Wreck-It-Ralph dan Ghostbusters.

Tiket The Void boleh didapati pada harga RM130 di kaunter yang disediakan atau pembelian secara dalam talian di www.rwgenting.com

The Void dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di tingkat 1, First World Plaza, Genting Highland.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×