Terkejut jumpa bayi ditinggalkan atas lantai rumah jiran - Utusan Malaysia

Terkejut jumpa bayi ditinggalkan atas lantai rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 6 Jan. – Seorang wanita masih tidak dapat melupakan detik menemukan satu bayi lelaki masih hidup dibalut dengan kain di depan rumah jirannya yang tidak berpenghuni di Kampung Parit Kerimon, Benut, di sini Khamis lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ng itu berkata, bunyi bising seperti anak kucing yang didengar dari rumah jiran kira-kira pukul 2 petang itu, membuatkannha merasa tidak sedap hati.

Dia segera menuju ke rumah jirannya yang terletak di hadapan rumahnya itu.

“Bunyi bising itu semakin kuat, semakin saya dekat dengan rumah jiran saya dengar suara tangisan bayi.

“Saya terkejut tengok ada bayi diletakkan atas lantai depan rumah itu. Saya panggil jiran untuk bantu.

“Saya sempat beri bayi itu susu menggunakan sudu. Tangan bayi itu seperti digigit semut, manakala tali pusatnya sudah jatuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. 

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Parit Kerimun, Yahya Jamil berkata, penemuan bayi itu sesuatu yang mengejutkan kerana lokasi kampung terletak agak jauh dari pekan Benut mahupun bandar Pontian.

Katanya, rumah yang lokasi bayi ditemui itu dihuni oleh seorang warga emas berusia 52 tahun yang difahamkan berada di rumah anaknya di Johor Bahru ketika kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Suprintendan Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi lelaki itu.

Katanya, bayi itu dibawa ke Hospital Pontian dan keadaanya dilaporkan stabil walaupun mengalami kesan kemerahan pada badan dan tangan disyaki gigitan semut.

“Bayi dianggarkan berusia dua minggu. Bayi itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk pemerhatian,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN