Terima rasuah syarikat kapal:2 kakitangan awam didakwa - Utusan Malaysia

Terima rasuah syarikat kapal:2 kakitangan awam didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Jan. – Seramai dua penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM120,000 daripada seorang pekerja syarikat perkapalan, November 2018.

Kedua-dua tertuduh, Sanizam Bachok, 45, dan Nor Yazid Khairi Mohamad Nor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan terhadap Sanizam, tertuduh yang merupakan Pegawai Laut Gred 44 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan) didakwa meminta suapan bernilai RM70,000 daripada Lim Tiam Lay sebagai dorongan mengeluarkan surat kelulusan operasi kapal Hai Tai 1, Kapal Hai Tai 2 dan Kapal Hai Tai 3.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Restoran Subway, Lot 11 Anjung Neighborhood Centre 5, Persiaran Ledang Height, Iskandar Puteri pada pukul 6 petang, 25 November tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau berbentuk wang RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah daripada Tiam Lay berjumlah RM50,000 dan mengeluarkan surat kelulusan ketiga-tiga kapal tersebut pada 11.10 pagi, 27 Disember tahun lalu di lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau berbentuk wang RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN