Terima kasih ‘Nadine’ – Sarah Hildebrand - Utusan Malaysia

Terima kasih ‘Nadine’ – Sarah Hildebrand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lima tahun berusaha menempatkan diri dalam dunia lakonan tempatan, ia bukan satu kerja mudah untuk pelakon Sarah Hildebrand.

Selepas dinobatkan sebagai juara dalam rancangan realiti Gadis M2 pada 2013, Sarah mengakui sukar untuknya bersaing dengan para pelakon sedia ada.

Justeru, Sarah menganggap watak Nadine yang dibawakannya menerusi drama bersiri Pujaan Hati Kanda (PHK), seakan memberi nafas kepadanya untuk berada dalam bidang lakonan.

“ Lima tahun lepas saya masuk industri tanpa sebarang ‘bekalan’ dan ilmu tentang lakonan. Saya hanya belajar daripada pengalaman. Kalau dulu saya berlakon nampak sangat kaku atau ‘kayu’, perlahan-lahan saya berubah apabila ramai mempertikaikan lakonan saya.

“Mungkin bagi sesetengah orang lima tahun itu satu tempoh yang lama, namun bagi saya ia adalah proses pembelajaran bukan sahaja dalam kerjaya malah mengenal erti susah payah dalam kehidupan.

“Kalau cakap pasal kecewa, sudah banyak kali saya mengalaminya dan hampir keluar dari bidang ini. Saya pernah rasa putus asa dan berasakan karier sebagai pelakon bukan kerjaya yang sesuai untuk saya,” jelas Sarah membuka bicara,

Lantas apabila mendapat peluang keemasan untuk beraksi di samping Remy Ishak, Mira Filzah, Reen Rahim dan Syazwan Zulkifly, dia tidak mahu langkahnya sumbang.

Sarah berusaha keras untuk menonjolkan watak tersebut agar meninggalkan kesan kepada penonton. Ternyata kegigihan Sarah berbaloi apabila Nadine menjadi kebencian ramai dan namanya pula menjadi sebutan.

“Nadine memberi kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan. Disebabkan watak inilah saya kembali bersemangat untuk meneruskan bidang lakonan. Ia seolah-olah membuatkan saya ‘bernafas semula’ setelah bertahun-tahun bakat saya kurang diberi perhatian.”

“Ramai juga yang tidak tahu saya begitu bersungguh-sungguh membawakan watak ini sehingga setiap apa yang dipakai oleh Nadine saya ambil tahu walaupun sudah ada wardrobe yang disediakan.

“Setiap kali babak Nadine,saya akan fikir bagaimana mahu menonjolkannya agar diingati. Antaranya dengan memakai baju bercorak harimau bintang dalam sebuah kampung. Ia agak pelik sebenarnya, tapi itulah kelainan yang cuba saya bawa.

“Saya juga berharap selepas ini pengarah di luar sana tidak berasa ragu-ragu untuk memberikan saya watak yang mungkin tidak terjangka oleh orang lain. Watak Nadine adalah titik tolak untuk saya keluar dari zon selesa,” kata Sarah yang mengidamkan watak aksi dan mempunyai kemahiran dalam ilmu mempertahankan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN