MELAKA 4 Jan. – Kepesatan sektor pelancongan dan kepelbagaian tempat menarik menjadikan negeri ini antara destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sebagai menyokong nadi utama ekonomi Negeri Hang Tuah itu, The Shore Oceanarium Sdn. Bhd. baru-baru ini memperkenalkan tarikan terbaharunya iaitu Taman Interaktif realiti maya (VR) dan augmented reality (AR) yang beroperasi di pusat beli-belah, The Shore.
Pengarah Urusannya, Chew Chert Fong berkata, taman interaktif VR dan AR yang beroperasi di tingkat dua pusat beli-belah itu merupakan hasil kerjasama dengan Coral Wonderland Sdn. Bhd.
Menurutnya, tarikan terbaharu itu merupakan taman interaktif VR dan AR kedua yang dibuka di negara ini serta yang pertama dan terbesar di Melaka.
“Tarikan baharu ini dijangka dapat meningkatkan lagi minat pengunjung terutamanya kanak-kanak untuk meneroka pelbagai kehidupan laut, binatang dan alam dinosaur melalui penggunaan teknologi terkini dan canggih.
“The Shore sebelum ini dikenali melalui tarikan taman akuatik The Shore Oceanarium yang terletak bersebelahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.
Menurut Chert Fong, Taman Interaktif VR & AR itu terbahagi kepada tujuh zon iaitu 360 Degree View VR Cinema, Dinosaur Augmented Reality, 3D Ex Laser Cinema, Augmented Reality Interactive, Interactive Fish, Kids VR dan Edutainment Painting.
“Keseronokan utama adalah permainan dan pembelajaran interaktif yang memberi pengalaman tiga dimensi kepada pengunjung.
“Tarikan ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2019,” ujarnya.
Jelas beliau, selain tujuh zon itu, pihaknya merancang memperbanyakkan lagi platform yang boleh diterokai pengunjung menggunakan teknologi visual terkini dan ciri-ciri AR yang cukup interaktif.
“Semua tarikan yang ada di sini sesuai untuk semua peringkat umur di samping memupuk kesedaran dalam diri pengunjung mengenai kehidupan di muka bumi selain dapat berhibur dengan cara yang cukup unik,” tambahnya.
Taman Interaktif VR & AR dibuka setiap hari bermula 10.30 pagi hingga 9 malam dengan harga promosi RM20 seorang (normal RM25) bagi dewasa atau kanak-kanak.
Pengunjung boleh mendapatkan harga istimewa sempena promosi musim cuti sekolah dengan pakej kombo bagi Taman Interaktif VR & AR serta The Shore Oceanarium Melaka pada harga RM45 bagi dewasa dan RM36 bagi kanak-kanak.










