SUNGAI PETANI 25 Jan. – Tanda tanya seorang rakan sekerja terhadap pemandu lori sebuah syarikat kurier yang tidak hadir bertugas sejak beberapa hari lalu, akhirnya terjawab apabila lelaki itu ditemukan mati seorang diri di rumahnya di Taman Semarak di sini, semalam.
Lee Wei Choy, 34, datang ke rumah itu untuk melihat rakannya, Azman Omar, 45, tetapi terkejut apabila menemukan mangsa sudah tidak lagi bernyawa lalu bertindak membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia sejak empat hingga lima hari lalu.
Katanya, berdasarkan percakapan seorang daripada anak mangsa, lelaki itu tinggal seorang diri di rumah berkenaan setelah berpisah dengan isterinya.
“Lelaki itu mempunyai tiga orang beradik yang masing-masing tinggal di Felda Teloi Timur, Kuala Ketil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat.
“Setakat ini tiada laporan jenayah berkaitan kes itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata Adzli lagi. – UTUSAN ONLINE










