Tanah Medan Imbi : Beli atau dirampas kerajaan - Utusan Malaysia

Tanah Medan Imbi : Beli atau dirampas kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Jan. – Pemilik bangunan komersial yang dibangunkan di lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur perlu membeli tanah tersebut bagi mengelakkan ia dirampas.

KHALID ABDUL SAMAD

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan itu merupakan antara solusi terbaik dalam menyelesaikan isu pencerobohan tanah kerajaan.

“Sama ada pemilik bangunan komersial berkenaan membeli tanah tersebut atau kemungkinan besar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas bangunan itu.

“Namun perkara itu akan dimuktamadkan dengan mengadakan rundingan dengan pihak terlibat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu tanah ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jejak Sisiran di Presint 1, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status terkini isu pencerobohan dua lot tanah Medan Imbi yang dikatakan terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.

Pada 16 Januari lalu, Khalid dilaporkan berkata, siasatan dalaman Jabatan Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kedua-dua tanah iaitu Lot 568 merupakan milik PTG Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Mengulas lanjut Khalid berkata, pemilik bangunan telah menghantar surat kepada PTG dan mereka telah melampirkan surat tersebut kepada Datuk Bandar dan Kementerian Wilayah untuk mencari jalan penyelesaian.

“Penyelesaian adalah sama ada tanah dan bangunan menjadi pemilik yang sama, atau pemilik bangunan membeli tanah atau pemilik tanah mengambil alih bangunan itu,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pemilik bangunan itu tidak akan terlepas daripada kesalahan membina bangunan tanpa membeli tanah terlebih dahulu serta mendapatkan perintah pembangunan.

Katanya, mereka akan dikenakan bayaran denda atau saman selain diambil tindakan jenayah jika terbukti wujud unsur rasuah. -UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN