PUTRAJAYA 25 Jan. – Tempoh reman dua individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu kira-kira RM1.8 juta.
Majistret Ahmad Afiq Hassan membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman kedua-dua suspek lelaki itu bermula esok sehingga 28 Januari ini.
Mahkamah Majistret turut membebaskan seorang lagi suspek wanita untuk kes berkenaan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pukul 9.15 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM dan tangan bergari.
Sebelum ini, ketiga-tiga suspek itu direman selama tiga hari bermula 23 Januari lalu dan berakhir hari ini, untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.
Sumber turut memaklumkan, ketiga-tiga suspek itu juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat.











