KUALA LUMPUR 2 Jan. – Transaksi pemindahan aset Lembaga Tabung Haji yang tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (Urusharta) dilihat mirip seperti agensi pengurusan aset negara, Pengurusan DanaHarta Nasional Bhd., (DanaHarta) yang ditubuhkan pada 1998.
Jumaat lalu, Tabung Haji sudah memindahkan kepentingannya dalam TH Heavy Engineering Bhd., Icon Offshore Bhd., Pelikan International Corp. Bhd., MCT Bhd., UEM Sunrise Bhd., IJM Corp Bhd., Pintaras Jaya Bhd., Parkson Holdings Bhd., Lion Industries Corp. Bhd., Puncak Niaga Holdings Bhd. dan KSL Holdings Bhd.
Ia turut melibatkan kepentingan dalam syarikat Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd., Mah Sing Group Bhd., Star Media Group Bhd., Integrated Logistics Bhd., Malakoff Corp Bhd., Naim Holdings Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd., Hap Seng Plantations Holdings Bhd., Eastern & Oriental Bhd., Adventa Bhd. dan CSC Steel Holdings Bhd.
Tabung Haji turut melaksanakan tindakan yang sama pada Isnin lepas terhadap aset-aset seperti FGV Holdings Bhd., Datasonic Group Bhd., Uzma Bhd., MMC Corp. Bhd., Reach Energy Bhd., Suria Capital Holdings Bhd., Mudajaya Group Bhd., YLI Holdings Bhd., Yi-Lai Bhd. dan Brahim’s Holdings Bhd.
Persoalannya, terdapat beberapa syarikat tersebut mempunyai prestasi yang boleh dikatakan baik seperti UEM Sunrise dan IJM Corp.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, kesemua saham yang dipindahkan itu telah mengalami rosot nilai lebih daripada 20 peratus berbanding dengan harga belian.
“Contohnya jika harga belian RM1.00, nilai pasarannya sekarang ialah kurang daripada 80 sen. Pihak kami telah pun menyelesaikan proses pemindahan semua aset tersebut pada 31 Disember 2018,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Zukri, SPV akan menggunakan semua hasil kutipan tersebut untuk menebus sukuk dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) yang diterbitkannya.
Pada 11 Disember lalu, Tabung Haji memberitahu, sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan RCPS-i berjumlah RM9.90 bilion.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, DanaHarta bertujuan mengambil alih aset pinjaman tidak berbayar (NPL) yang dimiliki oleh institusi kewangan dalam erti kata lain mengeluarkan aset yang tidak menjana pendapatan kepada sebuah entiti lain.
Katanya, dalam hal ini, SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan itu membolehkan Tabung Haji memberi fokus terhadap aset-aset menguntungkan seterusnya memperbaiki kedudukan kewangan mereka.
Jelas beliau, usaha untuk memulihkan aset-aset yang bermasalah memerlukan masa yang panjang dan dengan adanya SPV, Tabung Haji kini telah memindahkan kepentingan dalam 32 syarikat sejak Jumaat lalu.
“Tabung Haji ketika ini diterajui Zukri Samat yang sebelum itu merupakan bekas Pengarah Urusan DanaHarta. Beliau sememangnya berpengalaman luas dalam memulihkan aset-aset yang mempunyai masalah kewangan dengan dibantu oleh pasukan pengurusan yang berpengalaman.
“Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang dengan langkah yang diambil kerana DanaHarta sememangnya mempunyai rekod sejarah yang terbukti berjaya memulihkan aset-aset institusi perbankan di Malaysia ketika menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998,” katanya.










