KUANTAN 27 Jan. – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semalam adalah hasil formula baharu iaitu terbentuknya kerjasama utuh dan ikhlas antara UMNO serta Pas sehingga membuahkan kejayaan yang boleh dianggap cukup luar biasa.

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, sehubungan itu beliau merasakan sudah sampai masanya BN perlu berubah dan diubah namanya kepada ‘Barisan Ummah’.
Hal demikian kerana katanya, ‘Barisan Ummah’ merupakan antara resepi kejayaan terbaik dan ikhlas dalam membela kepentingan masyarakat yang berbilang kaum terutama kepentingan agama, bangsa serta negara.
“Saya yakin dengan tertubuhnya ‘Barisan Ummah’ ini, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mampu membuahkan kejayaan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila calonnya, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yang memperoleh 8,800 undi.
Muhammad Faiz berkata, pada pilihan raya 1969, Parti Perikatan kalah teruk sehingga terpaksa dibubarkan apabila formula baharu ditemui yang diberi nama BN.
“Pada pilihan raya 1974, BN menang besar dan 2018 menyaksikan BN mengalami nasib sama yang pernah Parti Perikatan lalui pada 1969.
“Situasi 2018 lebih lebih teruk sehingga BN kehilangan kuasa kerajaan Pusat dan kuasa di beberapa buah negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










