Suspek jadikan kanak-kanak tebusan di Sabah disyaki PATI - Utusan Malaysia

Suspek jadikan kanak-kanak tebusan di Sabah disyaki PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Lelaki yang ditembak mati selepas menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di sebuah apartmen di Telipok, Sabah, Ahad lalu dipercayai merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti suspek.

“Saya dimaklumkan suspek adalah PATI tapi identitinya masih belum dapat dikenal pasti. Kita sedang mewarwarkan agar sesiapa yang mengenali suspek untuk tampil memberi maklumat mengenai latar belakang suspek.

“Motif suspek menjadikan kanak-kanak itu tebusan juga masih belum dikenal pasti dan siasatan terperinci masih berjalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum suspek ditembak mati oleh anggota polis.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN