Assalamualaikum Chef Wan.
Semoga pada ketika ini, Tuan berada dalam keadaan yang sihat dan baik-baik sahaja. Saya menulis surat istimewa ini kepada Chef Wan kerana saya anggap ia bertepatan sekali dengan keadaan semasa, Tuan perlu diberikan sedikit nasihat yang betul dalam soal ini.
Chef Wan,
Ramai yang sudah tahu beberapa kekecohan yang ditimbulkan oleh Tuan baru-baru ini. Ugutan mahu menampar si polan dan si polan telah didedahkan oleh banyak pihak. Bukan soal siapa yang Tuan mahu menampar, juga tidak bertolak daripada isu politik. Tetapi ini adalah soal ke mana menghilangnya budi bahasa kita sebagai manusia yang punya adab dan tatasusila, ditambah sebagai orang beragama juga.
Dalam kes Tuan itu, banyak yang bertanya kepada saya. Adakah ini gambaran sebenar kematangan seorang lelaki yang sudah melepasi angka separuh abad? Inikah contoh teladan yang mahu dipertontonkan kepada umum oleh orang ternama dan tersohor dalam kalangan Melayu di dalam negara kita? Beginikah?
Menjadi agak kelakar dengan kata-kata Tuan yang kononnya saat mengeluarkan kata-kata begitu, Tuan berada dalam ‘rasukan’ syaitan, kurang sabar dan tidak boleh menahan rasa amarah. Suka saya ingatkan, ini bukanlah kali pertama Tuan ‘dirasuk’ syaitan. Sebelum ini pun, Tuan pernah membantai anak dan bekas menantu secara terbuka dalam laman sosial. Saudara mara sendiri juga pernah dimaki-hamun dan rasanya seluruh masyarakat belum pun lupa akan itu semua.
Siapa yang tidak pernah kena ‘maki’ oleh Tuan sebelum ini? Keluarga sendiri pun dihadapkan dengan macam-macam kata celaan, apatah lagi orang lain. Rakan-rakan artis dan media pun selalu juga terkena, apabila Tuan tidak mampu menahan amarah diri.
Maka tidak hairanlah, kenapa pada hari ini Tuan semakin hari dilihat semakin mengarut dan tidak lagi melambangkan kewarasan berfikir sebagai lelaki dewasa selayaknya.
Dek kerana isu tampar menampar juga akhirnya Tuan dibidas dengan dahsyat oleh kebanyakan warganet sejak seminggu lalu. Kata-kata yang ditinggalkan cukup pedih untuk ditelan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja murung seumur hidup, termasuk Tuan sendiri sehingga akhirnya tampil memohon maaf.
Saya percaya permohonan maaf yang dibuat itu datang daripada sudut hati Tuan yang paling ikhlas, dan saya tidak mempertikaikannya langsung. Sebaliknya saya memuji usaha Tuan kerana bukan mudah sebenarnya untuk seorang manusia seperti Tuan untuk memohon maaf. Tetapi Tuan melakukannya. Syabas.
Tuan,
Sebagai orang yang berpengaruh dan sudah berusia, adalah lebih baik sekiranya Tuan kembali ke jalan yang benar. Jadilah contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Tuan adalah orang bergelar, sudah berstatus ‘haji’ dan disayangi ramai pula tu. Peminat Tuan ramai, jadi janganlah menghampakan mereka. Kembalilah menjadi manusia dengan mulut dan peribadi terhormat.
Sesungguhnya, belum terlambat untuk Tuan kembali membetulkan diri dan menjadi manusia penuh wibawa. Kita sama-sama doakan supaya hal sebegini tidak berlaku lagi sebab kita tidak mahu orang hebat macam Tuan terus dicela dan ‘diganyang’ dek kerana tak tahu menjaga mulut sendiri.
Hati kami sebagai peminat Tuan juga mudah menjadi luluh dan tercedera apabila Tuan diperkotak-katikkan sebegitu. Sudah ada beberapa bukti hidup di depan mata, bagaimana masyarakat dan media menyingkirkan manusia yang tidak berakhlak sehingga tersisih daripada industri begitu sahaja.
Dan, kepada masyarakat juga, ini adalah teladan buat kita semua. Bahawa sehebat mana pun kita, nilai budi bahasa juga yang dipandang orang. Jangan pernah lupa untuk terus menjadi orang yang berbudi bahasa, hormat menghormati dan saling berkasih sayang. Manusia yang sombong dan bongkak, suka meninggi diri dan selalu merasakan dirinya hebat, akan jatuh dan tersungkur ditelan zaman.
Semoga Tuan tidak marah dengan kehadiran surat yang saya karang dengan penuh berniat baik ini. Sekian, terima kasih.
Ikhlas daripada;
Mary Jane- 250119.










