JERANTUT – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Negeri Pahang menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dilantik sebagai Sultan Pahang keenam semalam.
Pengerusinya, Datuk Azli Ismail berkata, Sultan Abdullah merupakan seorang pemerintah yang berkarisma dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Baginda merupakan seorang pemimpin yang mesra rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta peringkat umur.
“Baginda dan isteri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga amat mengasihi kanak-kanak dan orang susah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, baginda turut mengambil berat dan menyokong peniaga-peniaga bumiputera terutama orang Islam untuk maju dalam perniagaan mereka.
“Baginda ingin melihat umat Islam membangunkan ekonomi di negeri ini setanding dengan bangsa lain malah baginda pernah mencadangkan agar koperasi ditubuhkan di semua masjid untuk menjana pendapatan ahli kariah,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya yakin Sultan Abdullah mampu mentadbir negeri dengan baik dan rakyat akan bersama-sama mengekalkan kesejahteraan dan keamanan dalam masyarakat.
“Kita juga berharap agar pelantikan Sultan Abdullah membolehkannya mengisi kekosongan jawatan Yang Dipertuan Agong mengikut sistem giliran setelah Sultan Muhammad V meletak jawatan baru-baru ini,” jelasnya. – K! ONLINE










