PEMAIN skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Mohd. Zafuan Azeman enggan memberikan sebarang reaksi berhubung spekulasinya sama ada bersama Perlis atau Pulau Pinang susulan dia dilihat beraksi dengan skuad Harimau Kumbang pada aksi persahabatan kelmarin.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengesahkan Zafuan secara rasminya menyertai skuad kendalian Manzoor Azwira Abd. Wahid selepas berjaya mengikat perjanjian dengan pemain tersebut awal Januari lalu.
Zafuan yang dihubungi Kosmo! menegaskan, dia enggan memberi sebarang komen berkenaan aksinya bersama Pulau Pinang sebaliknya segala keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.
“Buat masa ini saya enggan memberikan sebarang komen berkenaan penglibatan saya bersama skuad Harimau Kumbang pada aksi persahabatan itu.
“Sebaliknya, semua kenyataan akan dibincangkan dengan ejen saya terlebih dahulu.
“Segala keputusan akan diketahui dalam masa dua atau tiga hari akan datang selepas mengadakan perbincangan dengan ejen,” katanya semalam.
Penampilan Zafuan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan ketika berdepan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) menimbulkan tanda tanya kepada peminat ekoran pemain tersebut sudah mengikat kontrak bersama Perlis.
Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Harimau Kumbang menang 1-0 hasil jaringan Dhiyaulrahman Hasry pada minit ke-39 perlawanan.










