KUALA TERENGGANU 28 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak supaya segera mengumumkan status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada projek itu telah dibatal atau sebaliknya demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan, pada masa sama kerajaan Pusat juga perlu menyatakan mengenai ganti rugi yang telah dibayar berikutan penangguhan projek tersebut sejak Julai lalu.
Beliau seterusnya mempersoalkan bagaimana kerajaan masih belum mengumumkan keputusan rasmi mengenai status terkini projek berkenaan dan perkara itu sepatutnya tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.
Amzad juga hairan dengan percanggahan serta kecelaruan kenyataan antara dua menteri yang berkaitan berhubung status projek ECRL itu sehingga menimbulkan kekeliruan kalangan banyak pihak.
“Mengapa pihak kerajaan masih belum umumkan keputusan rasmi berhubung status terkini projek ECRL ini. Apakah ada perkara yang cuba diselindungkan oleh Jemaah Menteri dan siapa sebenarnya menteri yang bertanggungjaab ke atas projek ECRL ini. Ini perkara penting dan ini menggambarkan kelemahan ketara pihak kerajaan dalam mentadbir negara.
“Jadi, saya mendesak pihak kerajaan bentangkan segera status terkini projek ECRL termasuk ganti rugi yang sudah dibayar ekoran penangguhan projek yang telah dibuat sejak Julai 2018. Saya juga minta (dedahkan) siapakah pihak yang bocorkan maklumat penting mengenai projek ini kepada media sebelum perkara ini dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Muka depan Utusan Malaysia hari ini menyiarkan percanggahan kenyataan antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai status sebenar projek ECRL itu.
Amzad seterusnya berkata, pada 23 Januari lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan berhubung pertanyaan yang timbul mengenai status terkini ECRL dan kenyataan itu dibuat berikutan laporan berita mengenai pembatalan projek mega itu yang disiarkan oleh The Edge pada 23 Januari dan The Straits Times Singapore pada 21 Januari lalu.
Namun katanya, pada 26 Januari pula, Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyebut kerajaan telah membatalkan projek tersebut kerana tidak mampu menanggung kadar bunga tahunan yang mencecah RM500 juta.
“Kenyataan beliau telah mengejutkan Menteri Kewangan dan YAB Timbalan Perdana Menteri. Persoalannya bagaimana keadaan cacar marba begini boleh berlaku,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










