JOHOR BAHRU 30 Jan. – Tujuh kontraktor ditahan kerana kemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan di Jabatan Perpaduan Negeri Johor pada 2017 berjumlah RM48,600.
Suspek yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu merupakan pemilik syarikat berasingan, ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di sini pada 4 petang semalam.
Hasil siasatan awal mendapati, semua mereka mengemukakan butiran palsu berkaitan kerja pembekalan itu di mana kerja-kerja berkenaan tidak dibekalkan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Tambahnya, Mahkamah Majistret Johor Bahru juga membenarkan tiga suspek direman selama tujuh hari dan dua suspek direman lima hari, semua tahanan reman bermula hari ini.
Beliau berkata, dua suspek lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN ONLINE










