KUALA LUMPUR 17 Jan.- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta bantuan pengilang di Britain bagi menentukan jika 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta yang dibeli Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada 2016 merupakan barang tiruan.
Menurut laporan portal Malaysiakini, sumber mendakwa SPRM telah menerima maklumat bahawa pakaian memadam kebakaran yang didakwa dibekalkan dari pengilang berpengkalan di United Kingdom sebenarnya tidak dibuat di negara berkenaan.
“SPRM cuba mendapatkan (syarikat) di UK untuk melakukan (analisis) forensik kerana perlu melakukan perbandingan (antara baju yang dibekalkan oleh pengilang dan baju yang diterima oleh jabatan).
“Ini kerana ada tuntutan bahawa pakaian itu tidak dibekalkan (oleh pengilang),” lapor Malaysiakini.
Semalam, dilaporkan bahawa SPRM telah merampas baju tersebut pada tahun 2017 selepas Jabatan Kimia mendedahkan bahawa pakaian itu tidak selamat dan tidak mematuhi piawaian JBPM.
Malaysiakini melaporkan pemeriksaan terhadap senarai keputusan tender oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2016 mendapati hanya satu syarikat yang dianugerahkan projek itu untuk membekalkan pakaian kalis api bomba pada tahun tersebut.
Tender pembekalan yang bernilai RM13,590,000, atau RM2,265 bagi setiap unit pakaian itu dianugerahkan kepada syarikat persendirian swasta yang alamatnya berdaftar di Cheras di sini.- UTUSAN ONLINE










