PASIR PUTEH – Seorang remaja berusia 17 tahun yang dikenali sebagai ‘Spiderman Teh Beng’ bertekad membantu guru sekolah di daerah ini bagi menarik kehadiran murid ke sekolah menerusi Program Sekolah Penyayang.
Muhammad Syafiq Shazwan Mohd. Saupi berkata, dia kini sering hadir ke sekolah rendah pada awal pagi untuk beraksi di pintu pagar semata-mata untuk menarik minat murid seronok datang ke sekolah.
“Paling awal adalah selepas Subuh bertolak dari rumah ke sekolah yang menjemput saya dengan pakaian lengkap Spiderman. Sebenarnya saya adalah pelajar yang culas ke sekolah dan berhenti belajar di Tingkatan Empat.
“Sepatutnya, pada tahun ini saya berada di Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di sini. Saya mengambil keputusan berhenti sekolah kerana gagal mengikuti pelajaran dan mula mencari pekerjaan termasuk menjadi Spiderman sebagai sumber rezeki yang halal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kisah Spiderman yang menjual teh ais atau ‘teh beng’ di Jalan Kelubi, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, di sini itu tular di media sosial sehingga gerainya mendapat sambutan ramai.
Muhammad Syafiq berkata, kehadirannya ke sekolah sekali gus menebus kegagalannya untuk terus berada di bangku persekolahan dan tidak mahu langkah yang diambilnya menjadi ikutan murid.
“Beberapa kostum Spiderman iaitu Spiderman merah, hitam atau Spiderman Venom adalah aset yang memberi rezeki kepada saya ketika menjual minuman Teh Beng di tepi jalan selain beraksi di sekolah dan memenuhi permintaan majlis hari jadi.
“Saya terpaksa menyusun jadual tugasan untuk tidak menghampakan permintaan guru selain tugasan tetap di warung. Saya juga belajar untuk memberi semangat dan motivasi kepada murid,” katanya. – K! ONLINE










