PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memutuskan isu perlembagaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini dianggap sebagai akademik.
Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum
memutuskan sedemikian selepas dimaklumkan tiada lagi pendakwaan kes SOSMA di Mahkamah Tinggi.
Beliau turut bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah serta lima Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.
Mahkamah juga membenarkan bantahan awal pasukan pendakwaan terhadap permohonan 16 tertuduh kes SOSMA sebelum ini untuk merujuk persoalan sama ada akta berkenaan berpelembagaan atau tidak ke Mahkamah Persekutuan.
“Kami sebulat suara membenarkan bantahan awal pasukan pendakwaan kerana berpendapat isu berkenaan dianggap sebagai akademik.
“Selain itu, pertuduhan terhadap semua pemohon juga telah ditarik balik dan tiada kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi. Rujukan itu tidak bersesuai dengan Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964. Jadi, kami membatalkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung SOSMA,” katanya.
Seksyen 84 CoJA menetapkan bahawa hanya kes-kes yang melibatkan isu-isu perlembagaan boleh dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Suhaimi Nik Sulaiman dalam bantahan awal menyatakan permohonan berkenaan adalah tidak mematuhi Seksyen 84 CoJA selain kes di bawah akta tersebut kini sudah menjadi akademik.
Dalam prosiding itu, pasukan pendakwaan turut memaklumkan pembentangan pindaan akta itu dijangka akan dibentang pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen bulan Mac ini.
Sementara itu, peguam pihak respondan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dalam hujah mereka, persoalan mengenai SOSMA perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kes yang serius serta mempunyai kepentingan awam.
Menurut Kamarul Hisham, anak guam mereka tidak diberikan kebebasan mutlak kerana mereka dilepas tanpa dibebas.
“Jadi, masih ada kemungkinan dan risiko mereka boleh didakwa lagi di bawah akta sama.
“Selain itu, terdapat kenyataan daripada menteri sebelum ini bahawa moratorium akta ini ditarik balik berdasarkan keadaan semasa, jadi SOSMA masih wujud,” katanya.
Sebelum ini, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu dan mengemukakan pertuduhan baharu kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. – K! ONLINE










