BARCELONA 28 Jan. – Penyerang Real Madrid, Karim Benzema merupakan seorang pemain yang boleh menyemarakkan semangat penyokong, kata jurulatih Santiago Solari selepas menyaksikan jentera dari Perancis itu meledak dua gol inspirasi untuk pasukannya menang 4-2 ke atas Espanyol dalam La Liga, hari ini.
Benzema, yang masih menderita masalah keretakan jari sejak dua minggu lalu, kini sudah meledak 15 gol selepas membuat dua jaringan dengan pertamanya seawal minit ketiga apabila memanfaatkan bola muntah percubaan Luka Modric.
Gol kedua Benzema terhasil pada minit ke-45 selepas melepaskan tendangan leret mengatasi penjaga gol Espanyol, Diego López.
“Dia memiliki prestasi luar biasa, penyokong Madrid menikmati aksinya dan begitu juga mana-mana peminat sukan bola sepak.
“Karim adalah seorang pemain yang bagus, dia menjadikan rakan sepasukannya lebih baik dengan bermain dan berusaha bersungguh-sungguh,” ujar Solari selepas membawa pasukannya menang kali kelima daripada enam perlawanan dalam semua pertandingan di laman sendiri, mengatasi permulaan yang hambar pada awal tahun ini.
Gol kedua Real disumbangkan oleh Sergio Ramos (m-15), dengan Gareth Bale hanya memerlukan dua minit untuk mencipta jaringan selepas dibawa masuk pada minit ke-64, sekali gus melengkapkan kemenangan Real.
Sementara itu, dua jaringan Espanyol terhasil menerusi Leo Baptista dan Roberto Rosales masing-masing pada minit ke-25 serta 81.- REUTERS










