LONDON 28 Jan. – Pertahanan Arsenal, Sokratis akan disisihkan sehingga penghujung Februari selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam aksi kekalahan kepada Manchester United pada Piala FA, Jumaat lalu, lapor kelab dari London itu hari ini.
Skuad Gunners sudahpun bergelut dengan ketiadaan ramai pertahanan sebelum tewas 1-3 dalam pusingan keempat Piala FA, melibatkan Rob Holding dan Hector Bellerin yang mengalami kecederaan ligamen lutut pada musim ini.
Pengurus Arsenal, unai Emery juga khuatir bek tengah Perancis Laurent Koscielny masih belum pulih daripada kecederaan rahang selepas mengalami lebam di bahagian tersebut ketika menentang United di Stadium Emirates.
Dalam kenyataan terbaru Arsengal, mereka memberitahu pemain berusia 20 tahun, Sokratis yang mengalami kecederaan buku lali kirinya dijangka kembali menjalani latihan pada akhir bulan Februari.
Koscielny, 33, pula mengalami lebam serta bengkak, dan akan dipantau kecederaannya setiap hari.
Arsenal kini menduduki tempat kelima Liga Perdana Inggeris dengan 44 mata daripada 23 perlawanan, tiga mata di belakang Chelsea yang berada di dalam kelompok untuk bermain di Liga Juara-Juara musim depan.
Gunners akan melayani kunjungan Cardiff pada Selasa ini (Rabu pukul 3.45 pagi waktu Malaysia).- REUTERS











