Siti Aishah, pewaris perbidanan Melayu lama - Utusan Malaysia

Siti Aishah, pewaris perbidanan Melayu lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang menganggap amalan berpantang untuk ibu yang melahirkan anak adalah kolot. Malah ramai yang mencemuh namun bagi Siti Aishah Abdul Rahman, wanita yang masih mempertahankan warisan ini, kata-kata negatif itu tidak pernah diendahkan kerana baginya wanita yang tahu menilai diri akan menghargai amalan berkenaan.

Dia juga tidak pernah ralat diperlekehkan kerana keutamaannya sebagai tukang urut dan bidan moden adalah kepuasan hati pelanggan yang sering memberi maklum balas positif. Apatah lagi apabila merasa tubuh mereka semakin sihat dan segar selepas melalui amalan itu.

Kata ibu kepada lima anak ini, kebanyakan yang bersalin anak sulung tidak mahu menjalani amalan berpantang atau mengurut. Akibatnya selepas melahirkan anak kedua dan seterusnya tubuh mereka mula merasa sakit dan akhirnya terpaksa berurut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya ilmu warisan lama tersebut perlu dikongsi bersama tatkala ilmu ini semakin lama semakin hilang. Lagipun orang tua yang mempunyai pengalaman itu ramai yang telah meninggal dunia sedangkan ada masih ada orang kita mencarinya. Atas sebab itu saya sedia berkongsi ilmu warisan ini,’’ katanya.

Bak kata pepatah `ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, begitu juga Siti Aishah, 37, atau lebih dikenali sebagai Ice dalam kalangan rakan dan pelanggan yang mewarisi kepakaran mengurut daripada ibunya, Zabedah Kassim.

Ketika masih menuntut dalam jurusan Ekonomi Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dia telah mula mempraktikkan urutan kepada rakan-rakan dan pensyarah di kolej.

“Saya mula belajar mengurut secara serius untuk wanita berpantang daripada emak iaitu ketika saya berpantang akibat keguguran pada usia 28 tahun. Urutan yang saya pelajari, 
saya lakukan semula kepada emak dan selepas dia berpuas hati dan berkata saya boleh pegang orang barulah saya berani mengurut orang lain,’’ katanya.

Pemilik pusat rawatan Blessed Beauty itu terus mendalami ilmu tersebut dengan mengikuti kursus urutan di Persatuan Warisan Urutan Melayu Malaysia (HAMA) dan kelas anatomi fisiologi manusia.

Usahanya membuahkan hasil apabila rawatan dan urutan Siti Aishah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan diberi peluang untuk mengurut wanita bersalin di hospital menerusi rawatan Perubatan Tradisional dan Komplemantari di Hospital Putrajaya selepas mengikuti kursus yang disyaratkan kementerian pada 2012 sehingga 2013.

“Diri tukang urut tidak boleh kosong kena tahu urat yang dipegang, saraf, aliran darah, kontra indikasi seperti pesakit darah tinggi dan strok,’’ tegasnya.

Malah kata Siti Aishah, bukan sahaja ilmu urutan malah adab terhadap wanita bersalin juga perlu dijaga kerana bidan-bidan terutama `bidan lama’ sangat beradab dengan ibu bersalin kerana menganggap mereka bersih tidak mempunyai dosa. Justeru urutan yang dilakukan tidak boleh terlalu kuat.

Menyingkap kembali penglibatannya dalam bidang ini dia berkata, semuanya bermula pada 2010 selepas nekad berhenti kerja sebaga telemarketer di sebuah syarikat swasta.

‘Semasa melahirkan anak kedua melalui kaedah pembedahan saya telah berkongsi pengalaman berpantang dan berurut untuk ibu bersalin biasa atau pembedahan menerusi blog. Dalam blog ini saya turut memuatkan gambar cara bertuam, minum air akar kayu dan rawatan bayi. Ramai pengikut blog yang bertanya sama ada saya mahu mengurut,’’ katanya.

Bermula di situ, Siti Aishah memulakan perkhidmatan mengurut dan rawatan ibu berpantang dari rumah ke rumah dengan mengajar pelanggannya asas berpantang, tuaman, pemakaian bengkung, param dan pilis serta penjagaan bayi.

“Perkhidmatan saya banyak dibantu melalui cerita mulut ke mulut pelanggan manakala bayaran yang dikenakan bergantung kepada kemampuan mereka sama ada memerlukan rawatan minimum tiga hari atau sehingga tujuh hari,’’ katanya yang mendapat sokongan kuat daripada suami, Azizul Md. Yusof, 41, yang juga tukang urut.

Bermula 2011 dengan melakukan perkhidmatan dari rumah ke rumah, pada 2014 Siti Aishah membuka pusat rawatan Blessed Beauty di Seksyen 22, Shah Alam sebelum berpindah ke Lorong Sarkawi Kampung Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam.

Kini Siti Aishah mempunyai 20 perawat pantang yang akan membantu ibu-ibu berpantang khususnya di luar kawasan Shah Alam selain turut berkongsi ilmu rawatan di Facebook dan Instagram Blessed Beauty Centre.

Selain perkhidmatan mengurut, wanita ini yang kini menyambung pengajian di peringkat sarjana bagi kajian meroyan atau kemurungan selepas bersalin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), turut menawarkan kursus dan latihan mengurut selain ceramah tentang rawatan serta aturan berpantang.

Ceramah diadakan di seluruh negara khusus untuk bakal ibu dan bapa berhubung penjagaan isteri berpantang terutama bagi mereka yang tidak mampu membiayai kos rawatan berpantang sepenuhnya manakala latihan dan kursus tukang urut diadakan di pusat rawatan.

Atas permintaan pelanggan juga Siti Aishah yang turut menghasilkan produk rawatan, buku rawatan berpantang hasil tulisannya sendiri selain produk penjagaan wajah organik IceCare dan produk penjagaan bayi, Baby Nature.

Wanita ini turut menasihatkan mereka yang ingin mengurut agar belajar teknik mengurut.

“Kita kena berguru. Bahkan kalau mahu menjadi tukang urut sebab duit, urutan dilakukan tidak berkesan atau kata pelanggan urutan tidak sedap. Oleh itu urutan ini perlu dilakukan dengan niat menolong orang lain.

“Bagi saya kepuasan akan diperoleh apabila kita membantu orang dan berkongsi ilmu kerana ilmu itu daripada Allah. Lagi banyak kita berkongsi lagi banyak kita akan dapat ilmu dan lebih berkat,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×