KUALA NERUS 27 Jan. – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan majoriti 3,238 membawa mesej positif terhadap kerjasama blok pembangkang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemenangan itu juga memberi signal yang cukup jelas rakyat menolak pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Inilah masanya untuk PH membuat penilaian mereka sendiri. Khamis lalu saya membantu berkempen di Cameron Highlands dan saya dapat rasa penerimaan yang positif.
“Pas turut berkempen bagi kemenangan untuk memberi undi kepada BN kali ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan jersi baharu pasukan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.
BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi, jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.
Calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi manakala dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Dr. Azman Ibrahim berkata, penyatuan ummah antara parti itu dan BN yang menjadi penyumbang utama kepada kemenangan calon BN di kerusi Parlimen berkenaan memberi tamparan hebat kepada PH yang dikuasai DAP.
“Calon pembangkang di kerusi Parlimen Cameron Highlands ialah calon BN bukan calon Pas, tetapi ada sebab kenapa kita perlu duduk bersama.
“Kesan hasil tangan DAP kepada negara kita sudah terlalu jelas khususnya kepada survival orang Melayu jadi ia perlu disekat sebelum menjadi lebih parah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










