SERDANG – Tindakan licik dua lelaki menyewa sebuah teksi untuk melakukan aktiviti pengedaran dadah tidak berpanjangan apabila mereka akhirnya ditahan polis di pekarangan sebuah hotel di Taman Equine, Sri Kembangan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dalam satu serbuan sekitar pukul 8.30 malam berdasarkan hasil risikan yang dilakukan.
“Sewaktu serbuan dilakukan, kedua-dua lelaki berusia sekitar 30-an dan 40-an yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza serta sebuah teksi jenis Proton Saga itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di pekarangan hotel tersebut.
“Sebaik serbuan dilakukan, pihak polis telah menemui satu kilogram dadah jenis methamphetamine dalam kereta jenis Perodua Alza,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.
Difahamkan, sindiket berkenaan yang aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Serdang telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari sekitar kawasan Selangor.
Menurut Ismadi, siasatan yang dilakukan mendapati, modus operandi sindiket berkenaan adalah menggunakan teksi untuk melakukan aktiviti pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Harga pasaran runcit bagi dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai di antara RM150,000 hingga RM200,000 dan semakan mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Januari depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE










