KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengakui masih terlalu awal untuk penyokong berasa cemas selepas menyaksikan skuad Gergasi Merah masih gagal memperoleh kemenangan pada aksi pramusim dengan terbaharu tewas 1-2 kepada UiTM FC di Stadium MPSJ, Subang Jaya kelmarin.
Sathianathan menjelaskan, pihak pengurusan merancang hampir 11 perlawanan pramusim sebelum saingan Liga Malaysia bermula secara rasmi 1 Februari depan dan belang sebenar Gergasi Merah bakal dilihat selepas pulang daripada siri Jelajah Thailand nanti.
“Saya sudah katakan kepada pihak pengurusan pada beberapa siri aksi pramusim yang kami lalui ketika ini adalah hanya untuk fasa menguji pemain baharu yang kami tandatangani selain memberi peluang buat pemain-pemain Piala Presiden.
“Secara keseluruhan, saya lihat pasukan mencatatkan perkembangan positif walaupun tewas. Ini kerana pada babak pertama kami menguasai perlawanan apabila meletakkan beberapa pemain utama.
“Cuma apabila pada penghujung permainan, saya melakukan rombakan dengan meletakkan hampir keseluruhan pemain muda, kualiti pasukan sudah tidak setara dan UiTM FC mudah mendominasi sekali gus memenangi perlawanan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Sebagai rekod, Selangor hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Pulau Pinang sebelum tewas kepada PKNP FC 0-2 pada aksi persahabatan minggu lalu.
Skuad Gergasi Merah dijadualkan meneruskan aksi pramusim di Bangkok minggu depan dan bakal melakukan aksi persahabatan dengan kelab-kelab utama Liga Thailand nanti.
“Saya percaya ujian sebenar pasukan ialah aksi pramusim di Thailand kerana ketika ini fokus utama adalah memastikan pemain cergas sepenuhnya.
“Malah, saya tidak meletakkan beberapa pemain utama termasuk pemain import seperti Rufino Segovia dan Antonio German pada aksi pramusim kerana enggan mengambil risiko kecederaan,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Sathianathan diletakkan sasaran memecahkan dominasi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraih trofi Liga Super pertama pasukan Merah Kuning sejak edisi 2010.










