LONDON 6 Jan. – Cesc Fabregas mengucapkan selamat tinggal setelah melakukan 501 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, selepas dia dibawa keluar pada minit terakhir permainan dalam perlawanan Piala FA yang berkesudahan Chelsea mencipta kemenangan ke atas Nottingham Forest.
Fabregas yang menggalas tanggungjawab sebagai kapten dan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama, tetapi pasukannya masih mampu melakar kemenangan selesa 2-0 terima kasih hasil dua jaringan Alvaro Morata.
Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 31 tahun itu yang meninggalkan padang dalam linangan air mata selepas dia digantikan N’Golo Kante, menepuk tangan sambil berjalan keluar dan kemudian memeluk pengurus, Maurizio Sarri.
Fabregas melakukan 198 penampilan bersama Chelsea dalam semua pertandingan dan meledakkan 22 gol sejak menyertai Blues dari Barcelona pada 2014. Hentian berikut bagi bekas bintang tengah Arsenal itu ialah menyertai Monaco.
“Masa begitu pantas berlalu. Saya rasakan seperti minggu lepas saya mula bermain secara profesional dan sekarang, sudah lebih 15 tahun berlalu. Masa berjalan dengan cukup pantas dan anda perlu bersedia dalam setiap tiga hari untuk menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang berkata bagaimana bagusnya anda dan naik serta turun prestasi anda.
“Saya berasa semakin berusia, tetapi teknik yang saya miliki tidak pernah hilang. Kekuatan fizikal mungkin kian terhakis. Kelebihan teknikal akan terus kekal bersama anda,” kata Fabregas.
Mengulas mengenai kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti, Fabregas memberitahu, dia telah melihat penjaga gol mula menjatuhkan badan ketika sedang berlari, tetapi malangnya sepakan itu tetap gagal disempurnakan dengan baik.
“Malang sekali, pada penampilan ke-100 saya bersama Sepanyol, saya juga gagal melaksanakan sepakan penalti, itu sudah takdir saya,” tambahnya. – AGENSI










