TAPAH – Sekumpulan pendaki terkandas di Gunung Batu Putih, Batu 7, Kuala Woh di sini, selepas seorang daripada mereka dipercayai patah kaki ketika melakukan aktiviti itu tengah hari tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tapah berkata, kumpulan yang terdiri daripada 15 orang itu membuat panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi dan memberitahu mereka tidak boleh meneruskan perjalanan kerana seorang daripada mereka patah kaki.
Katanya, sebuah jentera bersama 14 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.
“Setakat ini kita belum menerima sebarang maklumat terkini daripada ketua operasi disebabkan tiada talian komunikasi di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama










