KUALA LUMPUR 30 Jan. – Proses reformasi pilihan raya dalam usaha mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih telus, adil dan profesional wajar diteruskan dan mendapat sokongan umum.
Sehubungan itu, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa supaya proses mengisi kekosongan jawatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lima ahli suruhanjaya tersebut dipercepatkan bagi membolehkan SPR berfungsi dengan berkesan dan memulihkan keyakinan rakyat.
Presiden Ikram, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad juga menegaskan proses reformasi sistem pilihan raya itu juga perlu diteruskan dengan mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh sekali gus dapat mewujudkan sistem demokrasi lebih sihat.
Katanya, ketegasan SPR termasuk mengambil tindakan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan meminta beliau keluar daripada pusat mengundi setelah didapati memakai pakaian yang mempunyai logo parti sewaktu hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands patut disokong semua pihak.
“Kesalahan penggunaan harta kerajaan untuk kempen pilihan raya seperti yang dilaporkan berlaku dalam PRK Parlimen Cameron Highlands itu juga hendaklah disiasat dengan segera,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Parid, proses reformasi pilihan raya perlu memberi keutamaan dalam beberapa usaha termasuk proses menangani rasuah menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang lengkap dan menyeluruh.
“Penggubalan Akta Neutraliti Pentadbiran untuk mengawal selia masalah kronisme dan penyalahgunaan sumber kerajaan atau kuasa awam juga perlu diambil kira selain Akta Pembiayaan Politik sebagaimana yang telah dijanjikan dalam manifesto PH sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Dengan semangat Malaysia baharu, Ikram juga bersedia terlibat dalam inisiatif reformasi pilihan raya melalui panel pemikir atau pasukan petugas khas,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










