KUALA LUMPUR 23 Jan. – Nampaknya media sosial menjadi medium yang paling popular untuk ahli politik tanah air menyindir anggota parti lawan.
Ketika ini tidak dinafikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak paling popular menggunakan media sosial untuk membidas fakta yang dianggap sebagai tidak betul yang dikeluarkan oleh pemimpin parti lawan.
Terbaharu nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula menggunakan Facebooknya untuk menyindir pembangkang.
“Apa khabar rakyat Cameron Highlands? Saya turun menggunakan kenderaan sendiri
“Oh belakang itu gambar calon BN, kami tak potong gambar muka calon macam kerajaan dulu dulu,” kata Dr. Wan Azizah.
Ketika ini hangat isu segelintir ahli politik Pakatan Harapan menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
Sementara pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kecoh juga isu gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad dipotong daripada banner pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kerana tidak bertanding di kawasan berkenaan.-UTUSAN ONLINE










