MUKADIMAH
BERTANDING kali ketiga di Parlimen Cameron Highlands dan kesemuanya kalah tidak mematahkan semangat calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, malah beliau komited untuk bersama-sama Kerajaan Pusat dalam membawa pembangunan di Cameron Highlands.
Wartawan Utusan Malaysia, ASLIZA MUSA menemu bual Manogaran tentang langkah seterusnya selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands semalam.
UTUSAN: BAGAIMANA anda menerima kekalahan untuk kali ketiga di kerusi Parlimen Cameron Highlands?

MANOGARAN: Saya terima kekalahan ini dan tetap positif. Saya akan terus bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat bagi kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai selain memberi komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam aspek pembangunan seperti yang kita janjikan sebelum ini.
BAGAIMANA anda melihat kejayaan BN dalam mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands?
BN memainkan isu kaum, namun saya tidak menyalahkan pengundi malah ia sebenarnya menjadikan kami lebih kuat kerana sebagai warganegara Malaysia, kita melangkaui bangsa dan agama. Kita adalah warga negara ini.
BAGAIMANA anda melihat penerimaan Orang Asli sepanjang kempen PRK Cameron Highlands berlangsung?
Walaupun kita kalah, saya melihat terdapat perkara positif di mana kawasan selesa untuk BN terutama di Jelai berjaya ditembusi dan saya yakin PH akan buat lebih baik lagi pada masa akan datang.
APAKAH yang ingin anda beritahu pengundi di Cameron Highlands?
Terima kasih kepada pengundi pada PRK Cameron Highlands. Saya gembira dengan peratusan mengundi di beberapa kawasan Orang Asli termasuk di Betau, Lenjang, Senderut dan Lanai. Kita telah membuat yang terbaik.
APAKAH pesanan anda untuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor?
Tahniah kepada Tuan Ramli di atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen di sini dengan baik sekali gus mewakili semua penduduk di sini.










