Saya mahu jumpa, tengok wajah Syed dulu – Ebby - Utusan Malaysia

Saya mahu jumpa, tengok wajah Syed dulu – Ebby

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Penghibur serba boleh, Ebby Yus mahu mengenali dan bertemu dahulu dengan individu dikenali sebagai Syed, yang sudi untuk mendermakan buah pinggangnya.

Menurut Ebby, dia mendapat tahu individu berkenaan mahu menyerahkan buah pinggang kepadanya menerusi laman Facebook semalam.

“Selepas saya terbaca di Facebook, saya minta kawan cari nombor telefon dia. Bagi saya, apabila dia cakap nak bagi buah pinggang dia pada saya, niatnya itu saya kira sudah sampai dan saya seperti mendapat kembali semangat saya.

“Tetapi, saya mahu berbual dan berkenalan dulu. Dia sanggup berkorban untuk saya jadi saya mahu tengok wajah dia dan mahu ucapkan terima kasih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru di sini hari ini.

Pada pertemuan itu juga, Ebby menerima ziarah dan sumbangan berupa wang tunai menerusi program Ziarah Kasih Kebajikan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sumbangan itu disampaikan oleh Pemangku Ketua Pengarah Finas, Shakib Ahmad Shakir.

Yang turut hadir, Presi­den Seniman, Zed Zaidi yang menghulurkan sumbangan berupa wang tunai, mewakili pihak persatuan.

Sementara itu, Ebby Yus berkata, dia bersyukur kerana seorang teman sudi menajanya untuk menunaikan ibadah umrah. Dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 28 Januari ini.

Selain itu, Ebby memberitahu, dia sudah boleh bekerja namun hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan.

“Alhamdulillah, saya sudah boleh kembali bekerja dan menjalani penggambaran. Tetapi untuk babak yang ringan dan penggambaran di studio. Kalau ada yang panggil untuk rakaman bual bicara, sitkom pun saya boleh,” katanya.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, disahkan doktor menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga hampir setahun lalu.

Malah, keadaan penyakit lamanya iaitu jantung juga kini semakin lemah. Pada masa ini dia hanya bergantung pada ubat.

Selain menghidap dua penyakit kronik tersebut, Ebby juga menghidap penyakit gastrik, kencing manis dan prostat. Pelakon filem This Is Pilah ini juga pernah menjalani rawatan pembedahan pintasan jantung pada tahun 1998.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×