ISKANDAR PUTERI 8 Jan. – Kerajaan negeri merancang mengadakan lawatan kerja ke tujuh negara dalam usaha untuk mencapai sasaran RM8 bilion pelaburan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, negara yang bakal dilawati ialah Dubai, China, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Singapura.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran RM8 bilion itu, namun memerlukan usaha serta perancangan.
“Saya akan melawat Dubai bagi menghadiri festival makanan terbesar di dunia, kita berminat dalam bidang pemprosesan makanan kerana mahu menjadikan Johor sebagai hab halal di rantau ini.
“ASEAN mempunyai populasi lebih 630 juta di mana majoritinya beragama Islam dan kita akan menggunakan platform itu memasuki pasaran China dan Jepun kerana kita melihat permintaan tinggi dalam industri makanan halal,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Big Wheel dan URCE Alibaba Malaysia Channel Partner untuk menubuhkan sebuah akademi antara lain untuk mengajar golongan usahawan teknik memilih produk yang betul serta cara memasarkan barangan mereka ke pasaran global.
Big Wheel diwakili Pengasas dan Pengarah Urusan, Michael Chang dan URCE E-Commerce Sdn. Bhd. oleh Ketua Pegawai Eksekutif, David Foo.
Jimmy berkata, lawatan ke Amerika Syarikat pula akan menumpukan kepada antaranya dalam bidang data berteknologi tinggi kerana kerajaan negeri menyasarkan menjadikan Johor sebuah kawasan Lembah Silikon yang baharu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebuah syarikat dari Perancis akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pada tahun ini untuk membangunkan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Senai dekat sini.
“Ia bukan syarikat Airbus tetapi sebuah syarikat yang membekalkan barangan kepada Airbus. Mereka akan membuat kajian lapangan yang akan mengambil masa sebelum membuat keputusan dan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.










