LONDON 25 Jan. – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berharap kejayaan pasukannya mara ke perlawanan akhir Piala Liga selepas menewaskan Tottenham Hotspur menerusi sepakan penalti mampu menjadi titik tolak kepada musim pertamanya bersama Blues.
Sebelum ini, Sarri mempersoalkan kekuatan mental pasukannya, malah, menuntut penyerang, Eden Hazard menunjukkan aksi sebenar supaya bangkit daripada kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Arsenal, Sabtu lalu.
Dua gol yang dijaringkan N’Golo Kante dan Hazard membolehkan Chelsea melakar kemenangan 2-1 ke atas Spurs, sekali gus menafikan defisit kekalahan 0-1 dalam separuh akhir pertama.
Ini secara tidak langsung mengikat kedua-dua pasukan dengan agregat 2-2 dan mengheret penentuan sepakan penalti yang berpihak kepada Chelsea 4-2. Kemenangan tersebut akan menemukan Blues dengan Manchester City dalam perlawanan akhir, 24 Februari ini.
“Saya fikir dalam tiga atau empat perlawanan terakhir kami berdepan masalah. Masalah pertama adalah motivasi pemain dan mereka hilang keseronokan beraksi di atas padang. Sekarang, dengan persembahan dan keputusan ini, kami boleh mencari semangat untuk pasukan,” kata Sarri.
Sarri sebelum ini dikritik kerana meletakkan Hazard di bahagian tengah sebelum mengembalikan semula posisi kegemaran bintang Belgium itu di sayap kiri. Bagaimanapun, pengendali Chelsea itu tidak berminat mengulas mengenai isu tersebut, malah, sebaliknya hanya memberi ulasan mengenai masalah mentaliti anak-anak buahnya.
Hazard ketika ditemui pemberita juga enggan memanjangkan isu tersebut dan pemain itu berkata, dia tidak kisah dengan apa yang Sarri mahu nyatakan kerana tumpuannya hanyalah untuk memberikan yang terbaik kepada Chelsea. – AFP










