Sarawak tangguh larangan merokok di tempat awam - Utusan Malaysia

Sarawak tangguh larangan merokok di tempat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan larangan merokok di semua premis makan yang penguat kuasaannya bermula hari ini di seluruh negara, sementara menunggu keputusan oleh Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Beliau berkata, sungguhpun kerajaan negeri sependapat dengan kerajaan Persekutuan dalam undang-undang anti merokok, ia mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri berhubung aktiviti merokok.

Hakikatnya pada dua tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan kempen anti merokok di kopitiam menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan mereka sendiri, tetapi malangnya tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

“Elakkan daripada dikelirukan oleh pihak tertentu bahawa kami menghalang undang-undang persekutuan daripada dilaksanakan di negeri ini,” kata Kui Hian kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau difahamkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di bawah Kementerian Kesihatan akan memanggil pemegang kepentingan terutamanya pengusaha kopitiam untuk membincangkan Undang-undang Anti Merokok Persekutuan yang baru diwartakan (24 Dis 2018) dan pelaksanaannya.

Kui Hian berkata, satu pertemuan telah diadakan membabitkan JKNS, kementerian beliau, dan Jabatan Peguam  Besar Negeri Sarawak pada 28 Disember tentang perkara yang perlu dilakukan Sarawak berhubung pelaksanaan dan isu berkaitan penguatkuasaan larangan itu di pihak majlis tempatan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×