KEPALA BATAS 6 Jan. – Seramai 35 penagih berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan selepas polis menyerbu sarang dadah di kawasan paya bakau di Kampung Bakau Tua, Kuala Muda, di sini semalam.
Kesemua mereka yang merupakan buruh serta penganggur ditahan menerusi Ops Sarang yang dijalankan sekumpulan anggota dan pegawai narkotik ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, operasi bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti syabu, ganja dan heroin dengan berat keseluruhan 30 gram daripada 16 suspek yang ditahan.
Turut ditemukan, tambahnya, adalah dua buah motosikal jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang pada 2012 dan tahun lalu yang dinaiki tiga orang suspek ketika menuju ke sarang dadah berkenaan.
“Serbuan ini dilakukan hasil maklumat awam berkenaan kawasan paya bakau ini yang sering dijadikan lokasi penagihan dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan yang dibuat dalam operasi ini kira-kira RM1,100 dan dibawa ke ibu pejabat polis SPU untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kesemua dadah yang dirampas itu adalah untuk kegunaan sendiri dan hasil ujian air kencing semua suspek didapati positif dadah jeni MOP dan methamphetamine.
Ujarnya, kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Tambah beliau, kes itu akan disiasat di bawah beberapa Seksyen seperti 39B; 39A(2); 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (R/P) 1983 kerana memiliki dadah berbahaya dan menagih dadah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas sarang-sarang penagih dadah di daerah ini.
“Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah serta jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih di daerah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










