KUALA LUMPUR 27 Jan. – Lima hari menjelang pembukaan Liga Malaysia (Liga M) 2019, penerimaan penyokong bola sepak tempatan terhadap liga domestik cukup luar biasa, melihat kepada sambutan sepanjang pelancaran jersi baharu mahu pun aksi pramusim.
Lebih 10,000 penyokong Bos Gaurus membanjiri Dataran Majlis Bandaraya Ipoh semalam ketika pelancaran jersi baharu.
Senario sama turut berlaku di beberapa negeri yang melancarkan jersi pasukan masing-masing seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kedah, Pahang, Melaka dan Kelantan.
Sejak beberapa minggu lalu pula, kebanyakan pasukan mula mengadakan aksi persahabatan untuk menguji skuad masing-masing.
Kehadiran penonton di stadium sangat memberangsangkan, termasuk perlawanan melibatkan Perlis, yang hanya beraksi dalam Liga Perdana.
Jika momentum itu diteruskan, pastinya nilai pasaran pasukan Liga M akan melonjak, malah menarik minat penaja.
“Saya percaya nilai pasaran sesebuah pasukan akan melonjak jika penyokong membanjiri stadium.
“Kalau penyokong hadir ke stadium setakat 200 atau 300 macam mana penaja nak masuk. Penyokong jangan kongsi pasukan apabila menang sahaja. Kalah pun mereka perlu ada bersama pasukan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Yusoff Mahadi.
Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berkata, persiapan pasukannya amat k baik, malah cukup bersedia untuk memulakan kempen Liga Super.
“Kalau dulu, Melaka United nak panggil Safiq Rahim main dengan kami dia hanya senyum tetapi sekarang pemain ternama sudah mula berminat dengan kami.
“Terima kasih Presiden (MUSA), Adly Zahari kerana komitmen yang beliau berikan dalam persiapan menghadapi musim 2019,” katanya lagi.
Sementara itu, pemain sayap Selangor, Syahmi Safari berkata, sokongan padu yang diberikan penyokong sewaktu majlis pelancaran jersi nyata memberi suntikan semangat kepada pemain Red Giants.
“Saya fikir ini perkara yang bagus. Ramai yang hadir dan membeli jersi baharu. Ia juga dapat membantu pasukan menjana pendapatan,” katanya.
Pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri pula berkata, Liga M 2019 lebih menarik dan mencabar buat Bos Gaurus kerana mereka akan beraksi dalam kelayakan Liga Juara-Juara Asia.
“Melihat dalam media sosial, saya boleh lihat semua pasukan buat persiapan rapi.
“Mereka berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik dan daripada situ boleh menarik minat penyokong untuk hadir ke stadium,” katanya.










