Saksi kemalangan diminta hubungi polis - Utusan Malaysia

Saksi kemalangan diminta hubungi polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis meminta kerjasama orang ramai tampil menyalurkan maklumat berhubung kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di simpang tiga Batu Lima Jalan Meru di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Muhammad Amirudin Mahedin, 22, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z telah dilanggar oleh sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran di persimpangan terbabit.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Setia City Mall, Shah Alam dari rumahnya di Felda Bukit Cerakah. 

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah bergesel dengan sebuah kenderaan berat menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjatuh dan digilis kenderaan itu. 

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

Nurulhuda berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

“Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 7 petang semalam selepas selesai bedah siasat.

“Sehingga kini, pemandu kenderaan berat yang melanggar mangsa masih belum membuat sebarang laporan polis,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN