Makanan jalanan atau street food bukan sahaja popular kerana harga yang jauh lebih murah berbanding restoran tetapi keenakannya juga tidak kalah dengan makanan di tempat berhawa dingin selain dihidangkan dalam kuantiti banyak menepati citarasa penggemarnya daripada pelbagai lapisan umur.
Antara makanan jalanan yang popular adalah kuetiau goreng basah atau `char kuey teow’ yang sudah pasti mempunyai ramai penggemar namun untuk menikmati kuetiau goreng basah asli Pulau Pinang di Kuala Lumpur, Amir BM Char Koay Teow di Keramat Wangsa sering menjadi pilihan ramai warga kota apatah lagi dengan menunya paling popular iaitu kuetiau goreng basah tsunami.
Makanan istimewa itu menggabungkan semua makanan laut seperti udang, kerang dan sotong yang turut dihidangkan dengan telur goreng selain mempunyai kuah yang enak, dijual pada harga RM10 sepinggan.
Kata pemilik Amir BM, Mohd. Yusni Amri, 43, atau lebih dikenali sebagai `Master Yus’, hampir kesemua pelanggan mengakui dapat melepaskan rindu untuk menikmati kuetiau goreng basah Pulau Pinang apabila berkunjung ke gerai miliknya.
Rahsia keenakan makanan itu sebenarnya menurut Yusni adalah pada kicapnya yang menjadi bahan utama untuk kuah. Justeru dia menghasilkan sendiri kicap berkenaan melalui resipi milik keluarganya.
“Resipi ini berasal dari Bukit Mertajam, sebab itu nama kuetiau goreng basah saya ada BM bermaksud Bukit Mertajam, namun resipi ini saya olah dan hasilnya memang memuaskan hati,’’ katanya.
Maka tidak hairanlah pati kicap Amir BM Char Koay Teow ini mendapat permintaan ramai termasuk peniaga kuetiau goreng basah lain bukan sahaja di Kuala Lumpur malah dari Kuala Kangsar, Perlis, Kelang dan Melaka.
Penyediaan pati kicap itu dilakukan di kediamannya sendiri dengan dibantu oleh anak lelakinya.Selain kuetiau goreng basah menu yang turut menggamit selera warga Kuala Lumpur di Amir BM ini ialah makanan laut lambak atau seafood lambak yang mirip kepada menu shell out.
Sos makanan laut lambak ini disediakan khas oleh isterinya, Siti Rohani Wan Chik, 38, iaitu sos padang yang mempunyai rasa masam, manis dan pedas.
Penggemar shell out boleh mencuba menu ini pada harga RM18 untuk hidangan seorang, hidangan untuk pasangan dan keluarga masing-masing pada harga RM28 dan RM38.
Sambil menikmati pelbagai hidangan lain seperti ayam penyet sambal istimewa, masakan asam pedas ikan pari dan ikan keli, pelanggan juga boleh membasahkan tekak dengan minuman istimewa `Air Kapel’ iaitu air vanila dan coklat berkembar ditabur biskut coklat Oreo berharga RM8 atau mangga susu iaitu isi mangga yang dikisar bersama-sama susu berharga RM6.
Kata Mohd. Yusni, Amir BM Char Kuoy Teow bukan sahaja beroperasi di Keramat Wangsa tetapi turut mempunyai gerai di Setiawangsa dan Taman Melawati yang beroperasi setiap hari serta tiga kenderaan saji (food truck).
Kenderaan saji beroperasi pada setiap hari di AU1 Keramat Wangsa dan setiap Jumaat sehingga Ahad di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah dan tapak Urban Street Dining di KLCC.










