Saifuddin enggan ulas tuduhan Hassan - Utusan Malaysia

Saifuddin enggan ulas tuduhan Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 16 Jan. – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas kenyataan Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim yang kesal dengan sikap membisu dan berdiam diri kerajaan Persekutuan mengenai tuduhan Singapura terhadap Menteri Besar Johor.

Malah Saifuddin menyifatkan, urusan yang melibatkan dua negara perlu ditangani dengan saluran diplomatik dan bukannya melalui kenyataan balas kepada republik tersebut.

“Saya tidak mengatakan setuju atau tidak dengan pandangan beliau (Hassan) tentang tidak ada jawapan balas yang keras dari kerajaan, kerana saya fikir apa juga masalah antara negara berjiran, saluran diplomatik adalah jalan penyelesaian terbaik dan telah terbukti sebelum ini.

“Pada hemat saya, ia tidak perlu diurus secara perang mulut yang harus dimulakan oleh kepemimpinan atasan kedua-dua negara kerana itu bukan tindakan bijak dalam menguruskan hubungan diplomatik berjiran.

“Saluran diplomatik telah diuruskan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang menemui rakan sejawatnya dan telah melaporkan kepada jemaah menteri hasil perbincangan, begitu juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah berada di Singapura minggu lalu untuk membincangkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hassan yang menyifatkan sikap pemimpin Kerajaan Persekutuan dan negeri seolah-olah bacul dan dayus kerana membiarkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian diserang Singapura tanpa dibela sewajarnya.

Pejabat Kementerian Luar Singapura baru-baru ini mengumumkan hasrat menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung Isnin lalu susulan dakwaan pencebohan kapal dinaiki Osman ke perairan republik itu oleh sebuah portal berita negara jiran tersebut.

Sebelum itu Osman menegaskan tidak menceroboh perairan Singapura sebaliknya mahu melawat kawasan perairan negeri dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan Johor.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, beliau menghormati pandangan dan hak Hassan dalam memberi pandangan terhadap kerajaan namun menyifatkan setiap isu antara negara perlu diselesaikan melalui perbincangan dan bukan kenyataan terbuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×