IPOH 2 Jan. – Sebuah rumah mewah semi D di sebuah taman perumahan berpengawal di Bandar Lahat Mines di sini didapati dijadikan sebagai stor simpanan 20 tan mercun dan bunga api yang dipercayai untuk dipasarkan sempena Tahun Baharu Cina.
Taktik tersebut bagaimanapun terbongkar apabila orang awam yang bimbang kejadian membahayakan penduduk di taman perumahan tersebut seperti letupan membuat laporan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Hasil maklumat tersebut dan risikan selama seminggu, JKDM Perak yang melakukan serbuan pada pukul 9 malam Khamis lalu merampas kesemua mercun dan bunga api itu yang bernilai RM3 juta dalam pasaran.
Mereka turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pemilik rumah setelah dipanggil untuk membuka kediaman tidak diduduki itu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd. Hamid berkata, kesemua mercun dan bunga api berkenaan disimpan dalam 640 buah kotak yang disusun di ruang kosong tanpa perabot di tingkat bawah kediaman tersebut.
“Jumlah 20 tan mercun dan bunga api itu dianggarkan sebanyak satu kontena 40 kaki yang disimpan di dalam rumah. Perkara ini boleh membahayakan jiran-jiran sekiranya berlaku letupan.
“Kita syak barang larangan ini yang berkemungkinan diimport dari China disimpan untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina. Ini merupakan rampasan terbesar di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Ipoh di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Pengarah Kastam negeri, Mohd. Nordin Abdullah.
Menurut Azimah, keseluruhan mercun dan bunga api tersebut dianggarkan bernilai RM263,480 manakala duti import sebanyak RM131,740 dan cukai jualan RM39,522.










