KUALA LUMPUR – Dua rakan masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan merompak pemandu perkhidmatan e-hailing bersenjatakan pisau Disember tahun lalu.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu masing-masing terhadap R. Nanthakumar, 33, dan C.S Komagan, 41, selepas mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 11 Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas pemandu MyTeksi Ton Kwong Hong, 29, iaitu dua buah telefon bimbit serta wang tunai RM150 yang keseluruhannya berjumlah RM2,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan flat Sri San Peng pukul 12.50 tengahari pada 2 Disember tahun lalu.
Pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama terhadap pemandu MyCar, Mohamad Aniff Azhari Hamidi, 29, dengan merompak dompet, dua buah telefon bimbit serta wang tunai RM400 di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pukul 2.20 petang pada 4 Disember tahun sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










