JOHOR BAHRU – Polis berjaya merampas 1,499 kotak rokok dan 596 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM13.7 juta dalam empat serbuan berasingan di Batu Pahat dan Johor Bahru, Rabu lalu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dalam operasi pada pukul 1.10 petang itu, empat ahli sindiket penyeludupan berusia 37 hingga 49 tahun berjaya diberkas.
Menurutnya, pihak polis melakukan serbuan pertama serta kedua di Jalan Kempas Lama dan Taman Kempas Utama di sini.
“Dalam serbuan itu kita berjaya menangkap dua lelaki tempatan dan merampas 614 kotak rokok seludup serta 586 kotak minuman keras pelbagai jenama.
“Susulan tangkapan itu, kita melakukan serbuan ketiga dan keempat di Taman Kota serta Yong Peng, Batu Pahat dekat sini dan menahan dua lagi lelaki selain menemui 885 kotak rokok seludup,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Tampoi di sini hari ini.
Zainal berkata, dalam operasi itu pihaknya turut berjaya merampas lapan kenderaan termasuk enam buah lori tiga tan yang dipercayai digunakan sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan terbabit.
Jelasnya, siasatan mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak empat tahun lalu dan hasil risikan mendapati mereka mempunyai rangkai di seluruh negara.
Katanya, selain itu pihaknya juga tidak menolak kemungkinan rokok dan minuman keras ini diseludup dari negara jiran menggunakan kontena sebelum diedarkan kepada peruncit untuk dijual secara haram.
“Dua suspek ditahan reman selama tujuh hari manakala dua lagi direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1(i) Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE.










